Our Blog

Lawatan Mahabbah di Bumi Brunei Darussalam

Syukur ke hadrat Illahi. Alhamdulillah. Beberapa pelajar daripada Kuliyyah Muamalat, khususnya daripada kursus Kewangan dan Perbankan Islam telah berjaya menunaikan hajat yang telah dirancang selama hampir satu semester, iaitu ke Brunei Darussalam.

Program yang telah dijalankan ini adalah bertujuan untuk melihat bagaimana perkembangan Kewangan dan Perbankan Islam di negara tersebut di mana ianya telah berjalan selama 3 hari 2 malam, iaitu pada 11-13 Mei 2015. Namun terdapat juga beberapa objektif yang perlu dicapai sepanjang berlangsungnya program ini. Hal ini adalah sedemikian kerana mereka telah melakukan lawatan ke beberapa tempat yang berbeza, iaitu:-

1) Universiti Islam Sultan Shariff Ali (UNISSA);
2) Centre for Islamic Banking, Finance, & Management (CIBFM);
3) Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Objektif yang pertama, iaitu ke UNISSA, ialah untuk menjalinkan kerjasama dan menguatkan hubungan dua hala antara Kolej Universiti Insaniah dan Universiti Islam Sultan Shariff Ali. Alhamdulillah, setibanya mereka di sana, mereka telah disambut dengan penuh kehangatan oleh barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UNISSA yang diketuai oleh Naib Yang Di-Pertua MPP UNISSA sendiri, Al-Hadi bin Zainal Abidin. Beliau ditemani oleh saudari Timbalan Yang Di-Pertua MPP, Ummi Humaira binti Haji Kamis, serta beberapa pelajar daripada Fakulti Kewangan Islam dan Pengurusan Sains. Malah Timbalan Dekan fakulti tersebut, iaiti Dr. Kamaru Salam Yusof sendiri mengalu-alukan kedatangan mereka diiringi oleh bekas pensyarah KUIN, Prof Dr Mahmood bin Mohamed Sanusi, yang sekarangnya mengajar di UNISSA.

Sesi perbincangan antara wakil dari Kolej Universiti Insaniah dan Universiti Islam Sultan Shariff Ali.

Timbalan Dekan Fakulti Kewangan Islam dan Pengurusan Sains, Dr. Kamaru Salam Yusof (kanan sekali), bersama Prof. Dr. Mahmood bin Mohamed Sanusi (dua dari kanan).

Sesi penyerahan cenderahati daripada pihak KUIN kepada pihak UNISSA.

Sesi membalas cenderahati daripada pihak UNISSA kepada pihak KUIN.


Objektif yang kedua, iaitu ke CIBFM, ialah untuk mendapatkan kerjasama dalam memberikan latihan kepada pelajar secara lebih mendalam khususnya dalam bidang Muamalat. Mereka disambut oleh CEO CIBFM itu sendiri, Tuan Makhtar bin Abdullah, dan Puan Suriati Mohamad Taib, Pengarah Eksekutif CIBFM, sambil diiringi oleh pelajar dari UNISSA. Di sana mereka diberikan penerangan ringkas berkaitan dengan CIBFM oleh Tuan Makhtar sendiri.



Tuan Makhtar Abdullah sedang memberi penerangan ringkas berkaitan CIBFM.

Sesi bergambar antara wakil KUIN bersama CEO CIBFM, Tuan Makhtar Abdullah.


Objektif yang ketiga, iaitu ke Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, ialah untuk mengukuhkan hubungan dua hala di samping mendapatkan kerjasama untuk melatih pelajar dalam mengkaji fatwa dan cara sesuatu fatwa dikeluarkan. Di sana, mereka disambut oleh Pengarah Pentadbiran Jabatan Mufti Kerajaan, Dato Paduka Ahmad Bukhari bin Pehin Siraja Khatib Awang Haji Abu Hanifah dan para pegawai kanan jabatan berkenaan. Mereka telah diberi beberapa taklimat ringkas tentang jabatan berkenaan dan diberi kesempatan untuk melawat ke Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BPIS) yang memaparkan artifak-artifak, manuskrip-manuskrip Islam dan sebagainya.

Pengarah Pentadbiran Jabatan Mufti Kerajaan sedang memberikan taklimat.

Sesi penyerahan cenderahati daripada pihak KUIN kepada pihak Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Sesi bergambar bersama-sama wakil Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Saudara Riza Atiq selaku pengarah program sedang mengisi maklumat ke dalam buku pelawat BPIS.

No comments:

Post a Comment

BIBF Club Designed by BIBF KUIN | BIBF KUIN Copyright © 2014

Theme images by PK-Photos. Powered by Blogger.